Penulis diminta oleh rakan-rakan untuk mengulas isu Kod Tangan Bahasa Melayu atau singkatannya KTBM dalam pendidikan kanak-kanak Pekak. Secara ringkas penulis tegaskan bahawa apa yang ditulis di sini mengenai isu tersebut tidak sempurna dan merupakan satu pandangan penulis yang tidak muktamad belaka.
Seperti yang diketahui oleh orang ramai dan warga pendidikan khas, KTBM merupakan cabang bahasa isyarat yang dikodkan bersesuaian sepenuhnya dengan struktur Bahasa Melayu. Terdapat pihak lain yang berhujah bahawa KTBM bukanlah satu bahasa isyarat yang tulen seperti Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Tidak dapat dinafikan bahawa penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar Pekak di Malaysia tidak mencapai tahap yang memuaskan dan setanding dengan para penutur bukan Pekak. Akibatnya mereka sering ketinggalan dalam perkembangan akademik dan gagal menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan persekolahan awam.
Semua pihak terutama pemimpin Pekak membuat kesimpulan yang mudah dan menuding jari kepada KTBM sebagai punca utama yang menyebabkan fenomena kegagalan pelajar Pekak secara berterusan setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM keluar.
Mereka berhujah bahawa KTBM seharusnya digantikan dengan BIM kerana secara prinsip, setiap pelajar Pekak berhak dididik dengan menggunakan bahasa pertama dan bahasa ibunda, yakni bahasa isyarat.
Walau bagaimanapun, penulis tidak bercadang untuk menfitnah dan menghukum KTBM secara muktamad. Hal ini sedemikian kerana selain daripada KTBM, terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada kelemahan warga Pekak dalam Bahasa Melayu.
Penulis pernah menerima pendidikan khas dan dididik oleh para guru pendidikan khas yang menggunakan KTBM sebagai bahasa pengantar dalam sistem pengajaran di sekolah-sekolah Pekak. Guru Pekak yang terkenal, Teh Kean Hoe pernah mengajar penulis belajar Bahasa Melayu dengan mengggunakan KTBM. Lebih tepat sekiranya penulis dikategorikan antara produk KTBM yang berjaya pada masa itu.
Sebenarnya penulis tidak menggunakan KTBM sepenuhnya di luar kelas di sekolah rendah dan sekolah menengah kerana penulis seperti rakan-rakan Pekak yang lain lebih selesa bersembang dan berbual dengan menggunakan bahasa tersendiri. Dalam persekitaran sembang itu, tatacara KTBM 'dirojakkan' dengan mengetepikan penggunaan imbuhan dalam Bahasa Melayu dan tidak mengikut corak dan tatabahasa bahasa lisan.
Bahasa tersebut yang digunakan kemudian dikenali sebagai bentuk yang lebih berorentasikan kepada corak BIM yang kini diterima secara meluas dalam komuniti Pekak di Malaysia. BIM lebih pantas digunakan, sentiasa berevolusi dengan dinamik dan berupaya membentuk sistem komunikasi dua hala yang lebih bebas dan menyokong kekreatifan dalam menghasilkan pelbagai isyarat tangan yang lebih fleksibel.
Sementara itu, kecemerlangan KTBM terus semakin malap dari semasa ke semasa serta dijadikan modal pihak lain yang mengambil kesempatan untuk membuktikan KTBM sebagai hasil eksperimen yang ternyata gagal dalam menghasilkan warga Pekak yang berupaya membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.
Berdasarkan pengalaman penulis dalam mengelolakan kelas tuisyen untuk pelajar-pelajar Pekak pada masa dahulu, ditegaskan bahawa hanya dengan penggunaan BIM secara maksimum dalam pengajaran, tidak semua pelajar Pekak akan berjaya menguasai kemahiran Bahasa Melayu dengan baik sekali.
Dengan erti yang lain, BIM mempunyai kelebihan untuk memudahkan lagi kefahaman para pelajar Pekak terhadap segala pelajaran yang disampaikan namun BIM bukanlah satu-satunya formula muktamad yang boleh mengatasi masalah kelemahan penulisan dalam Bahasa Melayu.
Kejayaan menguasai Bahasa Melayu seharusnya bergantung pada sikap pelajar Pekak sendiri. Mereka yang memiliki ketekunan, kesedaran dan motivasi yang tinggi tidak akan menghadapi kesulitan untuk menguasai kemahiran penulisan yang berkualiti dalam Bahasa Melayu.
Mereka yang tidak bersungguh-sungguh dan mengekalkan sikap negatif seperti pemalas dan mudah berputus asa sudah pasti tidak akan berjaya walaupun diajar dengan pelbagai kaedah komunikasi yang didakwa paling berkesan baik KTBM mahupun BIM.
Pada pendapat penulis, para pemimpin Pekak, guru Pekak dan pemikir Pekak seharusnya bersatu dan merangka strategi dan penyelesaian alternatif dalam jangka masa pendek untuk membantu pelajar Pekak membaiki penguasaan Bahasa Melayu dengan teknik yang pantas dan efektif.
Hal ini penting kerana proses penerimaan BIM di sekolah-sekolah khas kerajaan akan mengambil masa yang panjang dan penuh dengan pelbagai halangan di samping mengelakkan kelewatan dalam perjuangan Pekak untuk melahirkan ramai intelek Pekak menjelang tahun 2020.