Tulisan ini disiapkan sebaik sahaja penulis menyelesaikan kesempatan yang kedua kalinya untuk kembali ke bangunan Persatuan Pemuda Kristian (YMCA) Kuala Lumpur kerana memenuhi undangan memainkan peranan sebagai fasilitator dalam Bengkel Latihan Kepemimpinan Kelab Pekak (Deaf Club).
Kegiatan ini disasarkan kepada Jawatankuasa Kelab Pekak di bawah YMCA dan telah dilaksanakan dengan jayanya semalam atas dasar jemputan Pusat Majudiri Y untuk Orang Pekak (PMY) yang meminta penulis untuk mengelolakan kegiatan tersebut.
Para peserta bengkel itu terdiri daripada tujuh orang pemegang jawatan dalam Jawatankuasa Kelab Pekak dan seorang staf dari Yayasan Majudiri Y untuk Orang Pekak.
Beberapa orang Ahli Jawatankuasa tidak dapat menghadirkan diri ke bengkel itu disebabkan oleh keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan berada di luar negara. Kesemuanya warga Pekak.
Penulis dimaklumkan bahawa kebanyakan antara peserta itu merupakan muka baru yang terjun ke dunia kepemimpinan Pekak dan menunjukkan minat yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi Kelab Pekak yang disertai.
Sebagai fasilitator, penulis tidak akan memberikan ceramah yang panjang dan berlebihan kerana kaedah itu dijangka akan menjemukan dan menggalakkan sindrom terkantuk sekiranya mereka hanya duduk berjam-jam dan tidak melakukan apa-apa.
Fokus yang penulis titikberatkan ialah memastikan dan mendorong setiap peserta mempunyai peluang dan kesempatan yang terbuka luas untuk mengambil bahagian dalam proses pembelajaran, menyumbangkan sesuatu kepada setiap sesi dan menggalas tanggungjawab secara bersama terhadap sesuatu yang terjadi sepanjang bengkel tersebut.
Atas permintaan penganjur itu, penulis memasukkan ketiga-tiga aspek, iaitu kepemimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam skop aktiviti dan syarahan ringkas memandangkan hal itu begitu kritikal sebagai penentu keberkesanan kepimpinan dan pengurusan dalam sesebuah organisasi.
Untuk menjayakan pendekatan dan objektif tersebut, penulis menyediakan beberapa aktiviti yang berkaitan seperti penghantaran surat bermotivasi, pengenalan identiti melalui bingo, kuiz pengurusan dusun durian, ujian matematik, pembuatan keputusan dalam bencana nuklear serta pengurusan konflik bermodelkan TKI.
Penulis juga menyertakan kes kajian yang berkaitan dengan perjuangan Iskandar Agung (Alexander The Great) dan Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama untuk memperkukuh kefahaman mengenai konsep kepemimpinan terutama apabila berdepan dengan krisis ataupun situasi yang genting dan memerlukan penyelesaian terbaik.
Mengenai kepentingan komunikasi dalam pasukan, penulis menerangkan lima komponen utama yang terwujud dalam pembentukan sistem komunikasi. Seterusnya para peserta ditugaskan memberikan idea dan contoh untuk melengkapkan sistem komunikasi tersebut dari segi perspektif mereka sebagai pengamal kebudayaan Pekak.
Tambahan pula, penulis juga memperkenalkan sebuah perisian komputer yang digunakan untuk membangunkan peta minda dengan mudah dan cepat. Peta minda dicadangkan kepada mereka dan amat berguna sebagai alat sokongan untuk melaksanakan sesebuah aktiviti percambahan minda (brainstorming).
Daripada komen-komen yang penulis peroleh selepas pengelolaan semua aktiviti berkenaan, mereka amat berpuas hati dan telah memperoleh sesuatu yang baru dan bernilai baik pelajaran mahupun pengajaran daripada kesilapan dan amalan yang tidak profesional.
"Pihak kami akan terus bekerja sebagai satu pasukan dan berikrar akan memperkukuh kedudukan Kelab Pekak YMCA sebagai kelab Pekak yang utama dan dikenali ramai di seluruh Lembah Kelang," kata Haymasuthan, Pengerusi Kelab Pekak.
Menurut beliau, hala tuju kelab itu telah dikemas kini dan ditetapkan dengan objektif, iaitu untuk mempromosikan gagasan 1Malaysia dalam kalangan ahli-ahli kelab, menstandardkan penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia, memperkukuh kemahiran kepemimpinan belia Pekak dan meningkatkan kesedaran awam mengenai hak-hak Pekak.
Jawatankuasa Kelab Pekak YMCA dianggotai oleh Mohd Radzi Abdul Malek (Penolong Pengerusi), Oh Tat Wei (Setiausaha), James Chua Tuan Sek (Penolong Setiausaha), Brandon Yap Yun Siong (Bendahari), Yak Ling Ling (Penolong Bendahari), Sitie Sarah Mustaffa (AJK), Boniface Heng Yee Haw (AJK), Mohd Farhan (AJK), Susie Ng Shu Tzu (AJK) dan Chow Fah Young (AJK).
Tulisan ini diakhiri dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Majudiri Y untuk Orang Pekak (PMY) di YMCA Kuala Lumpur yang telah memberi penulis kepercayaan dan kesempatan untuk bersama mereka dalam bengkel latihan sehari.
Mudah-mudahan misi penulis untuk menganjalkan minda para pemimpin Pekak dan warga Pekak umum ke arah kepelbagaian aliran pemikiran dan kesuburan perbezaan pendapat akan berjaya dan dicatat oleh Allah SWT sebagai amal. Amin!