Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam
Empat negeri keluar MSFD
Oleh Amir Hamidi
16 Jun 2010
Wakil-wakil Ahli Gabungan dan EXCO MSFD bergambar kenangan di Kompleks Penyayang Masyarakat, Pulau Pinang.

Mesyuarat Khas Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSFD) yang diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang pada 12 Jun yang lepas menerima permohonan penarikan diri daripada gabungan MSFD.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh empat persatuan Pekak, iaitu SDJO (Johor), POPK (Kelantan), KLSD (Kuala Lumpur) dan PADA (Pahang). Kesemua persatuan itu tidak menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat khas tersebut tanpa sebarang sebab bertulis.

Hanya PSD (Persatuan Orang Pekak Perak) dan PDA (Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang) turut hadir ke mesyuarat itu. Penulis dan Penolong Setiausaha PSD, Eamienor Zakiah hadir selaku wakil negeri Perak.

Wakil-wakil Ahli Gabungan MSFD (Perlis, Kedah, Selangor, Terengganu, Melaka dan Sabah) tidak hadir. Setiausaha Agung MSFD, Lim Anuar terpaksa membatalkan perjalanan ke Pulau Pinang kerana ibunya meninggal dunia.

Dalam perutusan mesyuarat khas itu, Presiden MSFD Kamarzaman Harun dan Presiden PDA Chung Kim Cheong (tuan rumah) turut berkongsi rasa dukacita dengan sikap segelintir persatuan Pekak yang tidak menghantar wakil untuk mengikuti mesyuarat khas yang dianggap amat penting dan boleh digunakan sebaik-baiknya untuk menguraikan permasalahan mereka.

Isu keluarnya negeri daripada gabungan MSFD dibahaskan secara positif. Atas prinsip menghormati hak dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat persatuan Pekak negeri yang terbabit masing-masing, mesyuarat khas itu memutuskan sebulat suara untuk melepaskan keempat-empat persatuan Pekak tersebut meninggalkan gabungan MSFD.

Walau bagaimanapun mesyuarat itu juga bersetuju untuk menggalakkan persatuan-persatuan Pekak yang tidak lagi Ahli Gabungan terus bekerjasama dengan pihak MSFD dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sukan Pekak pada masa yang akan datang.

Tambahan pula, mesyuarat itu menyarankan supaya pihak EXCO MSFD turun ke negeri-negeri tersebut untuk menyampaikan penerangan dan menghuraikan isu-isu yang dihadapi bersama dalam program dialog sekiranya terdapat jemputan rasmi dan persetujuan daripada persatuan Pekak tersebut.

Presiden PDA, Chung Kim Cheong menyatakan pihak persatuan pimpinannya tidak akan mengikut negeri-negeri lain yang mengambil tindakan drastik untuk keluar dari MSFD menandakan luahan ketidakpuasan hati terhadap pucuk kepimpinan MSFD yang didakwa tidak dapat berfungsi secara sistematik.

Presiden MSFD, Kamarzaman Harun menjelaskan bahawa setiap masalah dan isu yang tertera dalam surat permohonan tersebut telah diteliti dan sebenarnya boleh diselesaikan melalui saluran yang pelbagai dan sah sehingga tidak perlu dijadikan alasan nombor satu untuk mewajarkan penamatan gabungan dengan MSFD.

Beliau menambah bahawa pihak MSFD tidak mempunyai pilihan lain dan bertindak secara profesional dan bijaksana dengan menerima permohonan tersebut dan tidak akan memaksa semua persatuan mereka membatalkan keputusan yang dianggap muktamad di peringkat negeri.

Perlu diterangkan bahawa MSFD boleh dibubarkan sekiranya bilangan Ahli Gabungan dikurangkan kepada enam negeri mengikut syarat-syarat penubuhan seperti yang digariskan oleh ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia).

Di sebalik kekecewaan yang sedemikian, Presiden MSFD membawa khabar baik - beliau telah menerima mesej tidak rasmi, iaitu PESIBA (Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga Anak Pekak) telah menunjukkan minat untuk menyertai gabungan MSFD pada masa depan dan akan mengemukakan permohonan sekiranya tiada halangan daripada pihak EXCO MSFD.

Oleh yang sedemikian, MSFD digesa supaya terus berusaha mengenal pasti jalan penyelesaian yang efisien untuk memadamkan ketidaktentuan dalam perjuangan untuk kepentingan sukan Pekak serta mengajak komuniti Pekak memberikan sokongan kepada misi terakhir, iaitu menubuhkan pertubuhan baru di bawah pendaftaran Pesuruhjaya Sukan.

Mesyuarat khas itu berakhir dengan beberapa keputusan penting yang dikeluarkan termasuk strategi-strategi untuk menjayakan penganjuran SOPMA kali ke-17 2011 di Melaka dan kemungkinan penghantaran atlet Pekak ke kejohanan badminton orang Pekak peringkat Asia Pasifik (Indonesia) dan Dunia (Korea Selatan).

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 59
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115925
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.