Wajarkah pemimpin Pekak disenaraikan sebagai spesies terancam dalam dunia Pekak di Malaysia? Secara umum, spesies terancam ialah suatu kumpulan atau jenis benda hidup yang menghadapi risiko untuk musnah atau pupus dari muka bumi.
Persoalan itu telah dibangkitkan oleh penulis ketika dijemput sebagai penceramah untuk membentangkan kertas kerja bertajuk "Kepemimpinan dan Konflik Belia Pekak" dalam Bengkel "Motivating Deaf Youth and Career Experience Sharing" yang dianjurkan oleh Kelab Pekak YMCA Kuala Lumpur semalam.
Penulis berpandangan sedemikian berdasarkan beberapa parameter yang memungkinkan proses kepupusan golongan pemimpin Pekak pada masa yang akan datang termasuk kekurangan pemimpin bermuka baru yang diketengahkan dan peningkatan kualiti hidup masyarakat majmuk di Malaysia yang moden.
Seperti yang diketahui, dinosaur telah lama lenyap dari muka bumi. Mengikut kajian ahli-ahli sains, makhluk yang hebat, besar dan perkasa itu akhirnya tidak ada di dunia ini kerana mereka gagal menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca.
Peserta Pekak dijemput memberi pendapat mengenai dinosaur.
Perubahan cuaca dikatakan telah menjejaskan sistem alam sekitar yang menghasilkan sumber makanan kepada dinosaur. Mereka tidak berupaya menerima makanan yang baru jenisnya dan mati.
Sebagai perbandingan dengan kepupusan dinosaur, komuniti kita akan menghadapi risiko, iaitu kehilangan dan ketiadaan pemimpin Pekak yang diamanahkan untuk memelihara hak-hak asasi serta memastikan kelangsungan hidup komuniti minoriti.
Kepupusan pemimpin Pekak barangkali akan terjadi apabila seseorang warga Pekak tidak lagi menunjukkan kecenderungan untuk menyertai sesebuah organisasi Pekak baik persatuan mahupun pergerakan dan memegang jawatan sebagai presiden, pengerusi, ketua ataupun mana-mana jawatan bawahan.
Mereka didorong oleh satu kepercayaan bahawa mereka berada dalam kehidupan yang makmur, selesa, mewah, berkebajikan dan stabil dari segi sosioekonomi dan politik sehingga mereka merasakan bahawa persatuan tidak diperlukan dalam situasi tersebut dan hanya sebagai satu beban ataupun gangguan kepada mereka.
Sebagai akibatnya, nyawa organisasi tersebut tercabut dan mati. Tamadun dan kebudayaan warga Pekak turut menerima akibat tersebut. Tambahan pula, warga Pekak yang tulen akan digantikan dengan warga Pekak yang tidak berbahasa isyarat.
Apa yang dibayangkan di atas pasti tidak akan terjadi kepada kepemimpinan Pekak di tanah air sekiranya seseorang dalam kalangan komuniti Pekak tidak menutup mata atau membekukan minda daripada menerima pembaharuan dan perubahan zaman.
Hal ini mustahak agar mereka tidak membiarkan dirinya menjadi dinosaur yang 'berdegil' dan anti perubahan namun perlu menjadi seorang yang bijaksana dan berupaya menyesuaikan diri dengan segala cabaran yang akan datang.
Dengan ini mereka seharusnya meneruskan sokongan dalam apa-apa bentuk seperti menyumbangkan tenaga, masa dan minda untuk memastikan kepemimpinan Pekak ditegakkan dan terus merajai suasana dalam masyarakat Pekak biarpun mereka dilimpahi dengan pelbagai kesenangan yang menjamin kehidupan berkualiti.
Walau bagaimanapun konflik-konflik sentiasa wujud dalam dunia kepemimpinan Pekak dan tidak mungkin dihapuskan dengan sempurnanya.
Parameter ini boleh dikatakan menyumbang kepada kepupusan pemimpin Pekak kerana ia menakutkan dan mematikan minat mereka sehingga mewujudkan keengganan secara besar-besaran untuk memegang pelbagai jawatan dalam puncak hierarki persatuan Pekak.
Mereka tidak seharusnya beranggapan bahawa konflik merupakan perkara buruk dan dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada berpersatuan. Minda mereka perlu diprogramkan semula untuk membudayakan amalan berdepan dengan konflik dalam kehidupan mereka dan menerima cabarannya dari sudut yang positif.
Menarik - Para peserta tekun mengikuti sesi ceramah bersama Selina Ooi.
Hal ini demikian kerana konflik merupakan satu kurniaan ciptaan Allah SWT yang akan dijalani oleh setiap pemimpin Pekak dalam usaha menghasilkan penyelesaian sekali gus menyatukan pelbagai pendapat yang berbeza dalam satu wadah pemikiran yang sebaik-baiknya membawa kepada keadaan menang-menang atau 'seri' antara pihak-pihak yang terlibat.
Untuk menangani konflik secara profesional dan berkesan, mereka perlu dilatih mengenali asas-asas pemikiran dan menguasai beberapa model pengurusan konflik yang dicadangkan oleh pakar-pakar sains sosial. Bagaimanapun penulis mendapati tidak semua pemimpin Pekak yang pernah menerima kursus latihan yang dimaksudkan itu.
Jelas sekali bahawa komuniti kita sampai ke tahap yang tidak begitu kritikal untuk menghadapi kemungkinan kepupusan spesies pemimpin Pekak. Hal ini akan terus bertahan selagi kesedaran tentang pentingnya berpersatuan Pekak dan semangat kesukarelaan tidak mengalami kemerosotan.
Demikianlah sebahagian daripada kandungan ceramah yang telah dibentangkan oleh penulis namun tidak seluruh pandangan penulis yang dapat dimuatkan dalam tulisan ini disebabkan oleh kesuntukan masa.
Terdapat dua orang penceramah Pekak yang turut dijemput untuk merancakkan bengkel motivasi diri tersebut di YMCA Kuala Lumpur. Mereka ialah Selina Ooi Shin Ping, jurutera multimedia dari Kolej Damansara Utama dan Lim Anuar, pengarah unit seni dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Cyberjaya.
Selina Ooi (selinaooi.blogspot.com) membentangkan kejayaan projek tahun akhir yang membawa kepada penganugerahan hasil kerja yang terbaik sewaktu menuntut di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya. Maklumat projek beliau boleh ditemui dalam buku prosiding "21st International Symposium Human Factors in Telecommunication 2008 - User Experience of ICTs".
Beliau mengisahkan pengalaman yang manis dan pahit dalam perjalanan ke alam kerjaya termasuk perjuangan menghadapi cabaran yang getir ketika menjalani pelbagai temuduga untuk memohon jawatan di syarikat-syarikat besar seperti IBM Malaysia dan akhirnya diterima bekerja di Kolej KDU. Beliau telah diberikan kepercayaan untuk mengetuai projek pembangunan dan penyenggaraan laman web rasmi kolejnya (www.kdu.edu.my).
Lim Anuar yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSFD) telah menyampaikan hujah-hujah yang memadatkan topik pengurusan masa, peningkatan kerjaya dan kepemimpinan Pekak. Penjelasan beliau khasnya tentang pembaziran masa untuk komuniti Pekak telah mewujudkan daya penarik kepada para peserta bengkel itu.
"Objektif bengkel ini telah berjaya tercapai dan pihak kami mengucapkan terima kasih atas sokongan anda semua," ucap Haymasuthan, Pengerusi Kelab Pekak YMCA ketika menutup tirai bengkel yang dihadiri kira-kira 40 orang peserta.