Kebelakangan ini penulis menerima pertanyaan demi pertanyaan dan diminta mengulas kisah yang agak menarik tentang persatuan warga Pekak di negeri Selangor, iaitu Persatuan Orang Cacat Pendengaran Selangor (POCPS).
Salah satu kisah itu mengkhabarkan bahawa seorang pemimpin persatuan itu digari atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan sebagai akibatnya, persatuan tersebut menghadapi tindakan undang-undang untuk dibubarkan.
Secara tidak langsung, perkembangan itu dikatakan membuka ruang kepada pembentukan gerakan Pekak untuk menubuhkan sebuah persatuan baru yang akan mewakili negeri Selangor sekali gus menggantikan POCPS.
Benarkah POCPS diiktiraf sebagai persatuan yang 'mati' atau tidak lagi aktif? Itulah persoalan yang perlu diselidiki dan menjadi topik utama dalam perbincangan ini.
Atas tanggungjawab mencari jawapan daripada sumber yang sebenar, penulis mengambil kesempatan untuk melencong dan singgah di pejabat POCPS di Klang sewaktu dalam perjalanan ke destinasi - Karnival Buku MPH di Stadium Melawati Shah Alam pada hujung minggu yang lalu.
Secara spontan dan tidak terancang, perjalanan tersebut dijadikan sebagai program kunjungan tidak rasmi bagi penulis sebagai Presiden PSD (Persatuan Orang Pekak Perak) ke pejabat POCPS.
Kehadiran penulis dan isteri disambut oleh Presiden POCPS, Zainudin bin Ibrahim. Beliau bersetuju diwawancarai dan mengizinkan penulis membuat liputan berita untuk ruang Pena Diam dalam blog ini.
Presiden Zainudin merupakan pemimpin Pekak yang disegani dan terkenal dengan ketegasan pendirian dan gaya kepemimpinan yang agak keras namun namanya dikatakan amat popular di kalangan komuniti Pekak di Selangor, negeri yang termaju di Malaysia.
Beliau diangkat menjadi Presiden POCPS pada tahun 2002 selepas menewaskan calon pemimpin Pekak yang berpengalaman pada ketika itu, iaitu Aqlam bin Jafri yang kini menerajui kepemimpinan Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD).
Aqlam telah dihubungi menerusi e-mel baru-baru ini dan mengesahkan bahawa beliau dilantik menjadi Presiden Protem persatuan baru yang disebut Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) atas permintaan kumpulan orang Pekak Selangor yang tidak dikenali.
Presiden Zainudin telah mengepalai persatuan POCPS selama lapan tahun dan membaktikan banyak tenaga kepada komuniti Pekak termasuk mewujudkan unit pentadbiran persatuan dan melaksanakan pelbagai program yang kebanyakannya terdiri daripada aktiviti rekreasi dan program muhibah sepanjang eranya.
Salah satu isu kontroversi yang pernah diperkatakan mengenai kepemimpinannya ialah keluarnya POCPS daripada naungan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) akibat salah faham yang tidak dapat dijelaskan. Namun POCPS masih bergabung dengan MSFD (Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia).
Ketika ditanyakan tentang spekulasi negatif mengenai POCPS yang tersebar dari satu tangan ke tangan yang lain, Presiden Zainudin menafikan setiap kisah itu dan menganggapnya sebagai satu usaha yang bermotif untuk menumbangkan beliau.
Menurut beliau, hal itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati kumpulan kecil warga Pekak Selangor terhadap kepemimpinan beliau yang dituduh sebagai pemimpin yang tidak amanah dan perlu disingkirkan.
Dalam mesyuarat agung tahunan POCPS pada tahun 2009, beliau telah dicabar oleh dua orang calon Presiden dan berjaya mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan Jawatankuasa POCPS bagi sesi 2009-2011.
Beliau percaya bahawa kumpulan tersebut yang gagal menyingkirkan beliau dalam mesyuarat agung tersebut telah mengambil tindakan drastik dengan mempolitikkan isu tersebut dan memburukkan nama beliau dengan pelbagai tuduhan negatif.
Isu itu telah dilanjutkan oleh mereka kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) Negeri Selangor. Mereka memohon agar mesyuarat agung itu diiktiraf sebagai tidak sah dan perlu diadakan semula atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Presiden POCPS, Zainudin dan Wakil Klang, Farid (kanan) di hadapan bangunan pejabat POCPS (aras kedua).
Berikutan laporan aduan yang difailkan, Presiden Zainudin telah dipanggil bertemu dengan pihak JPP untuk memberikan penjelasan. Pada kesudahannya, pihak JPP dikatakan berpuas hati dan tidak mengeluarkan sebarang tindakan untuk membetulkan keadaan.
Beliau menegaskan bahawa pihak POCPS tidak pernah berhadapan dengan tindakan untuk digantung atau dibubarkan pendaftarannya seperti yang dikhabarkan.
Sebaliknya POCPS terus beroperasi seperti biasa. Presiden Zainudin bekerja sepenuh masa sebagai pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran dan kewangan.
Beliau melahirkan kekesalan dan terkilan dengan sikap individu Pekak tertentu yang sanggup menaburkan fitnah yang menjejaskan imej baik persatuan POCPS hanya kerana mereka kecewa dengan kegagalan cubaan dalam menyingkirkan beliau daripada kuasa pemerintah POCPS.
Beliau berpandangan bahawa sebarang masalah termasuk ketidakpuasan hati terhadap kepemimpinannya seharusnya dikemukakan kepada pihak POCPS mengikut saluran yang betul seperti mesyuarat agung supaya penyelesaian secara menyeluruh dapat dihasilkan melalui muzakarah.
Beliau berhak diberikan peluang untuk membela diri dan menangkis setiap tuduhan yang difikirkan tidak berasas dan direka-reka tanpa merujuk kepada sumber asal, iaitu diri beliau sendiri.
Katanya seseorang individu Pekak yang terlibat dalam kegiatan dakyah bermotifkan menyerang peribadi beliau di merata-rata diminta keluar dari POCPS dan bebas masuk ke mana-mana persatuan yang dipercayai dan disukainya.
Ketika diminta mengulas isu penubuhan satu lagi persatuan Pekak di Selangor, Presiden Zainudin menyatakan beliau tidak mempunyai alasan mengapa beliau perlu mencemaskan diri serta bersedia menerimanya dengan minda terbuka sekiranya hal itu menjadi kenyataan pada masa kelak.
Secara positif, beliau menyatakan ia merupakan peluang yang baik kepadanya untuk melakukan 'pembersihan' POCPS dengan mengeluarkan ahli-ahli yang bermasalah dan ingin berhijrah ke persatuan Pekak yang baru.
Hujah beliau berasaskan salah satu prinsip kepimpinan yang diamalkannya, iaitu tidak memperkecil-kecil mana-mana persatuan Pekak ataupun tidak mempertikaikan mana-mana program anjuran pihak lain yang menyamai matlamat POCPS.
Hal ini sedemikian kerana beliau telah dipilih berasaskan kepercayaan secara majoriti dan dituntut supaya memberikan komitmen sepenuhnya bersama POCPS dalam usaha memperkasakan gagasan penyatuan komuniti Pekak di seluruh negeri Selangor.
Menurut beliau, POCPS telah mempunyai barisan pemimpin Pekak yang dilantik sebagai wakil bandar seperti Kuala Selangor, Klang, Kajang, Bangi, Rawang, Sungai Buloh, Puchong, Banting dan bandar-bandar lain.
Mereka diwajibkan menghadiri setiap mesyuarat perwakilan di bawah seliaan POCPS dan bertanggungjawab menyuarakan sesuatu perkara mengikut kelompok bandar tersebut.
Beliau mendakwa formula tersebut telah lama dilaksanakan dan membuahkan kejayaan, misalnya persatuan POCPS berjaya mencatat lebih daripada 800 keahlian sepanjang zaman kepemimpinannya.
Berdasarkan kecemerlangan rekod perkhidmatan Presiden Zainudin bersama POCPS, penulis menyarankan beliau wajar diberikan gelaran "Nakhoda Pekak Selangor". Secara kebetulan lokasi pejabatnya terletak tidak jauh dari Pelabuhan Klang.
Penulis percaya beliau akan terus menakhodai bahtera berbendera POCPS dalam setiap misi yang mencabar. Beliau pasti sedar bahawa karamnya atau gagahnya bahtera itu ditentukan oleh sokongan kelasi yang setia.
Walaupun apa-apa yang berlaku termasuk bayangan isu kontroversi, beliau sentiasa bersedia untuk meningkatkan lagi usaha serta meyakinkan komuniti Pekak agar gaya kepemimpinannya masih relevan dan benar-benar diperlukan oleh POCPS pada era ini.
Pada kesimpulannya, POCPS masih aktif hingga hari ini dan memerlukan sokongan secara menyeluruh di kalangan komuniti Pekak di Selangor untuk meneruskan kelangsungan hidup persatuan tersebut.