Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam

Pelantikan Jawatankuasa Alumni FSDeaf (2010-2012).
Persatuan bekas pelajar FSD dihidupkan
Oleh Amir Hamidi
17 Jun 2010

Satu lagi mesyuarat diadakan di Pulau Pinang sehari selepas Mesyuarat Khas MSFD yang telah dibincangkan dalam tulisan yang lepas. Itulah Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan (Pulau Pinang) yang lebih dikenali sebagai EX-FSD.

Penulis dan isteri mengambil kesempatan berada di pulau tersebut untuk menghadiri mesyuarat agung yang diadakan di KOMTAR, George Town pada 13 Jun yang lalu. Kami merupakan bekas pelajar FSD dan berkeinginan memberikan sokongan kepada mesyuarat agung tersebut.

Di samping itu, penulis dapat bertemu dengan kawan-kawan lama yang pernah menuntut di FSD. Sememangnya tidak ramai orang Pekak dari Kuala Lumpur turun ke Pulau Pinang. Ho Koon Wei (pelajar PhD), Anne Laura Raymond dan Abdul Rahman Majid dari Kuala Lumpur turut hadir.

Dalam pembentangan laporan tahunan, Setiausaha Teh Kean Hoe menjelaskan bahawa Persatuan EX-FSD pernah ditegur dan diingatkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang kerana tidak aktif untuk menjalankan aktiviti program selama enam tahun.

Sokongan hadirin kepada mesyuarat agung.

Menurut beliau, program yang pertama dan terakhir dijalankan ialah Sambutan Ulang Tahun 50 Tahun FSD pada tahun 2004. Sejak sambutan tersebut, persatuan EX-FSD tidak pernah mengadakan mesyuarat agung dwitahunan dan program hingga tahun ini.

Sebab-sebab yang menimbulkan pelbagai kesulitan dan menjejaskan kelancaran operasi persatuan itu telah dihuraikan secara terperinci oleh Setiausaha Teh Kean Hoe dan difahami oleh para hadirin.

Penasihat Persatuan EX-FSD, Dato' Saleena Yahaya Isa yang merupakan mantan Pengetua FSD menyeru supaya setiap bekas pelajar FSD hendaklah tampil ke depan untuk menyumbangkan kemahiran untuk memantapkan lagi persatuan itu dan memperjuangkan pendidikan untuk warga Pekak.

Beliau meluahkan kekesalan kerana segelintir bekas pelajar FSD yang berjaya dalam kerjaya atas pertolongan dan ikhtiar yang pernah dijalankan oleh beliau pada masa dahulu tidak kelihatan dalam mesyuarat agung itu.

Ditambah beliau bahawa sokongan dan tindakan Persatuan EX-FSD amat penting untuk menangani cabaran-cabaran semasa dan yang akan datang terutama berdepan dengan cadangan untuk memindahkan sekolah Pekak yang tertua dari Tanjung Bungah ke satu lokasi yang dikenal pasti, iaitu di luar pulau.

Hal ini sedemikian kerana beliau berpandangan bahawa guru-guru pendidikan khas tidak dapat diharapkan dalam isu tersebut dan hanya terikat pada tanggungjawab dan tugas-tugas pendidikan di sekolah tersebut di samping mengurangkan risiko untuk dikenakan tindakan tatatertib.

Pemilihan Jawatankuasa Pentadbiran Persatuan EX-FSD yang baru (sesi 2010-2012) diadakan. Penulis dan Ho Koon Wei dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden.

Penulis menolak pencalonan tersebut dan mencadangkan supaya hanya warga Pekak yang duduk di Pulau Pinang sahaja diletakkan di tempat jawatan utama seperti Presiden, Setiausaha dan Bendahari untuk menghasilkan gandingan yang boleh berfungsi dan mudah bergerak.

Agenda mesyuarat agung.

Usul itu diterima sebulat suara. Seterusnya pertandingan jawatan ditiadakan. Pelantikan setiap jawatan dilaksanakan atas kuasa budi bicara dan rundingan.

Chung Kim Cheong dan Teh Kean Hoe kekal sebagai Presiden dan Setiausaha. Penulis dilantik menjadi Timbalan Presiden. Ronny Lee Soon Khuen menjadi Bendahari yang baru. Ho Koon Wei bersetuju dengan lantikan jawatan Penolong Setiausaha.

Barisan AJK dianggotai oleh Wan Mohd Ali bin Wan Abu Bakar, Lam Kam Lin, Pong Chang Khim, Teng Chun Peng, Azlan Awang dan Lim Anuar.

Apabila dianalisis dari segi pengalaman kepemimpinan, terdapat keenam-enam orang yang pernah dan sedang menyandang jawatan Presiden di persatuan Pekak peringkat negeri, iaitu Pong Chang Khim, Wan Mohd Ali, Lim Anuar, Teh Kean Hoe, Chung Kim Cheong (Presiden PDA) dan penulis (Presiden PSD).

Kini Persatuan EX-FSD memiliki tiga orang pemegang jawatan yang berkelulusan universiti, iaitu Teh Kean Hoe (USM), Ho Koon Wei (Gallaudet University & UM) dan penulis (UTM & UKM).

Diharapkan agar jawatankuasa yang baru ini dapatlah menggunakan pengalaman dan kemahiran dalam bidang masing-masing untuk menjana minda dan membawa perubahan kepada para bekas pelajar FSD dan warga masyarakat umum yang terlibat dalam pendidikan khas.

Salah satu resolusi telah diusulkan dan diluluskan sebulat suara, iaitu menukarkan nama persatuan itu kepada nama baru – Persatuan Alumni FSDeaf atas faktor kepopularan nama FSD dan nilai-nilai sejarah.

Sebagai Timbalan Presiden Alumni FSD, penulis akan mendapatkan dan mengkaji pandangan umum terutama dari Lembah Kelang untuk menentukan hala tuju Alumni FSDeaf pada masa kelak.

Gambar bekas pelajar FSD yang berkelulusan universiti dan pelajar politeknik dirakamkan bersama Dato' Saleena Yahaya Isa di KOMTAR.
Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 58
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115924
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.