Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam

Atas - Kuiz lakonan berbahasa isyarat oleh kumpulan wanita Pekak.
Bawah - Kelima-lima pelajar kelas BIM bernyanyi dalam bahasa isyarat.
Guru pendidikan khas perlu berkualiti
Oleh Amir Hamidi
26 Julai 2010

Pendapat segelintir orang yang menyatakan bahawa guru Pekak di sekolah kerajaan tidak berkualiti merupakan kenyataan yang tidak saksama dan direka dengan motif tertentu.

Demikianlah sanggahan yang dilontarkan oleh Lee Tur Chung, guru Pekak dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam ketika mengulas isu tersebut dalam satu perbualan terbuka bersama penulis di Parti Terima Kasih semalam.

Semalam penulis dan isteri dijemput menghadiri parti tersebut yang dianjurkan oleh sekumpulan pelajar bukan Pekak dari Kelas BIM Peringkat Tiga YMCA Kuala Lumpur, iaitu Jonah Ong, Huay Woon Chee, Jessie Koo, Theresa Chin dan Regina de Graciadan.

Jonah Ong, tuan rumah penganjur parti.

Parti penghargaan itu diadakan di kawasan apartmen kediaman Jonah Ong di Pelangi Damansara Condo, Petaling Jaya dan bertujuan untuk merakamkan penghargaan kepada para tenaga pengajar BIM, penilai Pekak dan individu yang telah menyumbang kepada peningkatan kemahiran berbahasa isyarat.

Lee Tur Chung menjelaskan bahawa isu guru Pekak kurang berkualiti ditimbulkan oleh pihak tertentu kerana mereka dikatakan kurang mahir dalam penulisan sama ada dalam bahasa rasmi ataupun bahasa Inggeris.

Beliau menegaskan kemahiran penulisan tidak seharusnya dijadikan satu-satunya faktor yang menentukan aras atau ketinggian kualiti seseorang guru Pekak kerana terdapat sebilangan guru bukan Pekak yang tidak dapat menunjukkan kemahiran berbahasa Inggeris yang baik dalam penulisan dan percakapan.

Bukan sahaja hal sedemikian malahan juga beliau memperkukuh hujahnya dengan mengemukakan contoh, iaitu sesetengah guru pendidikan khas kurang fasih berbahasa isyarat baik dalam BIM mahupun KTBM (Kod Tangan Bahasa Melayu) atas sebab yang pelbagai seperti peralihan ke perkhidmatan pendidikan khas ataupun kekurangan komitmen untuk belajar bahasa isyarat.

Daripada kisah pengalaman yang diceritakannya, komunikasi yang tidak lancar terjadi kepadanya apabila setiap maksud isyarat tangan yang diujarkan olehnya ketika berkomunikasi di sekolahnya kadang kala diertikan secara kurang tepat oleh rakan-rakan setugasnya yang pernah menerima latihan pendidikan khas yang berkualiti.

Beliau mencadangkan bahawa ciri yang paling utama bagi guru pendidikan khas yang berkualiti seharusnya didasarkan kepada kemahiran menguasai bahasa isyarat kerana sebahagian besar teknik dan kaedah pengajaran dijalankan dalam kerangka komunikasi secara visual sepenuhnya.

Lee Tur Chung, guru Pekak.

Sekiranya ciri tersebut diambil kira, penulis berpendapat bahawa guru Pekak masih berkualiti kerana lebih memahami keperluan golongan yang senasib dan lebih mahir dalam melaksanakan teknik pengajaran dan penyampaian isi pelajaran dengan menggunakan bahasa isyarat.

Tidak pernah kedengaran berita, misalnya perkhidmatan guru Pekak dihentikan kerana kurang berkualiti ataupun guru Pekak diberikan markah yang terendah dalam laporan penilaian prestasi tahunan.

Walau bagaimanapun, penulis akan meluaskan lagi tinjauan terhadap kemahiran guru Pekak dalam penguasaan bahasa rasmi dan bercadang membincangkannya dalam tulisan yang akan datang.

Secara saksama disarankan supaya guru pendidikan khas dan guru Pekak seharusnya mempunyai sikap untuk membaiki diri dari segi ikhtisas dan akademik menerusi kursus-kursus dalam bidang penyelidikan bahasa isyarat, teknologi maklumat dan kemahiran komunikasi sesama individu serta menggunakan peluang ini semaksimumnya untuk menjadi pendidik yang berkualiti dan berilmu.

Perbualan tersebut terpaksa disampuk dan ditutup kerana penulis dihendaki menyertai acara-acara permainan dan kuiz berbahasa isyarat yang diaturkan oleh pelajar kelas tersebut di parti itu.

"Saya mewakili Kelas BIM Peringkat Tiga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang telah menghadirkan diri ke parti ini untuk meraikan kejayaan kami dan banyak membantu kami menguasai bahasa isyarat dengan baik sekali," ujar Jonah Ong.

Kelima-lima pelajar itu wajar dijadikan teladan yang baik kepada komuniti Pekak, komuniti warga pendidikan khas dan masyarakat awam kerana mereka telah berkorban dari segi kewangan dan masa untuk mempelajari bahasa isyarat dengan bersungguh-sungguh.

Sikap mereka juga dipuji kerana menghormati kehadiran penulis dan isteri dengan menyediakan sajian makanan dan minuman yang bersesuaian dengan agama rasmi negara.

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 58
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115924
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.