Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam
Dua wakil PSD masuk PESRON Perak
Oleh Amir Hamidi
28 Januari 2010
Kamarzaman Harun - Timbalan Presiden (JK Penaja) PESRON Perak

Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Perak (PESRON Perak) telah ditubuhkan di Perak sebagai menyahut seruan kerajaan yang berhasrat untuk melihat setiap negeri di seluruh Malaysia mempunyai persatuan PESRON.

Penubuhan persatuan PESRON bertujuan untuk memastikan bahawa pembangunan sukan yang melibatkan golongan OKU itu dapat diperluas dan diperkukuh. Idea penubuhan persatuan tersebut dicetuskan pada tahun 2008 yang merupakan era Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Penaja PESRON Perak telah diadakan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Kompleks Belia dan Sukan, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh pada 21 Januari yang lalu.

Penulis tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat itu selepas menerima panggilan itu pada saat-saat akhir kerana terlalu sibuk dengan kerja-kerja tesis universiti.

Ekoran daripada hal itu, Persatuan Orang Pekak Perak (PSD) memberikan mandat kepada Timbalan Presiden PSD, Ong Shin Ruenn dan Setiausaha PSD, Kamarzaman Harun untuk mewakili pihak PSD ke mesyuarat penubuhan persatuan itu.

Ong Shin Ruenn - AJK (JK Penaja) PESRON Perak

Menurut laporan Setiausaha PSD seperti di bawah, mesyuarat itu telah melantik Kamarzaman Harun sebagai Timbalan Presiden PESRON Perak dan Ong Shin Ruenn sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PESRON Perak.

Pelantikan kedua-dua pemimpin Pekak tersebut merupakan berita yang pasti menggembirakan komuniti warga Pekak di Perak dan juga penghormatan kepada pihak PSD yang telah menunjukkan pencapaian yang baik dalam pengurusan aktiviti kesukanan.

Seandainya penulis tidak tersilap mengenai fakta semasa, hal ini dipercayai merupakan kes yang pertama di Semenanjung Malaysia, iaitu wakil Pekak dilantik untuk menganggotai dan menyandang jawatan dalam PESRON peringkat negeri.

Mereka wajar diberikan pujian atas kesungguhan dan komitmen terhadap perjuangan dalam pembangunan sukan OKU di negeri Perak serta diharapkan agar memanfaatkan pengalaman memimpin PSD untuk menjalankan tanggungjawab baru bersama PESRON Perak.

 

Laporan Wakil PSD ke Mesyuarat Penaja PESRON Perak

Salam sejahtera.

Seperti yang diminta oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak (JBS) menerusi Timbalan Pengarah JBS, Tuan Haji Hasan Noorhadi bin Awang, pihak PSD telah diwakili oleh Timbalan Presiden, Ong Shin Ruenn dan Setiausaha, Kamarzaman Harun.

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja PESRON Perak diadakan pada 21 Januari 2010 dan bermula pada jam 4 petang dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Hasan Noorhadi.

Agenda mesyuarat itu ialah untuk membincangkan dan melaksanakan penubuhan Jawatankuasa Penaja PESRON Negeri Perak serta menyegerakan pendaftaran persatuan baru dengan Pesuruhjaya Sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan.

Kami hanya sampai di JBS Ipoh jam 4.20 petang selepas bertolak dari Kuala Lumpur. Notis mesyuarat itu dimaklumkan pada 20 Januari 2010, iaitu pada ketika itu kami berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi di Putrajaya dan Damansara Perdana.

Atas tanggungjawab kepada PSD dan juga untuk memelihara ikatan hubungan baik dengan JBS Perak yang telah banyak membantu PSD, pihak kami tiada pilihan melainkan berkejar semula ke Ipoh selepas selesai mesyuarat di Damansara Perdana.

Disebabkan oleh kesuntukan masa, kami tidak sempat mendapatkan perkhidmatan penterjemah bahasa isyarat. Namun demikian, kami berjaya mendapatkan bantuan ehsan daripada salah seorang wakil OKU untuk menjadi pencatat bagi pihak PSD.

Melalui butiran yang dicatatkan oleh wakil OKU tersebut, kami dapat memahami dan mengikuti perjalanan mesyuarat tersebut tanpa sebarang masalah.

Antara rumusan-rumusan yang telah dihasilkan dalam mesyuarat tersebut ialah:

1. Program-program yang akan dijalankan oleh JBS Perak dengan kerjasama PESRON Perak seperti yang berikut.

- Sukan Paralimpik Malaysia di Perak pada bulan April dan Jun 2010
- Program Belia dan Sukan Rakan Muda
- Kursus Sukan Lawn Bowl
- Kursus Powerlifting

2. PESRON Perak dijangka akan menerima peruntukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Perak melalui Pejabat Menteri Besar Perak untuk menjayakan program-program tersebut.

3. Jawatankuasa Penaja PESRON Perak telah dilantik seperti yang berikut :

Presiden : Puan Suhailywati - OKU (cacat anggota)
Timbalan Presiden : Kamarzaman Harun - PSD
Setiausaha : Encik Idrus - OKU (cacat anggota)
Bendahari : Puan Noraini Said - OKU (cacat anggota)
AJK:

JK Pembangunan - Hj Said - OKU (cacat penglihatan)
JK Teknikal - Khairul Rozi - OKU (cacat fizikal)
JK Pemilihan - Subra - OKU
JK Pertandingan - Muhamad - OKU
JK Tatatertib - Idris - Persatuan Orang Buta
JK Wanita - Tan Kee Chok (Beautiful Gate - Pusat Pemulihan OKU)
JK Latihan - Ong Shin Ruenn - PSD

4. Borang permohonan pendaftaran PESRON Perak telah diuruskan oleh pegawai JBS Perak dan akan dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secepat mungkin.

Sekianlah.

Kamarzaman Harun
Setiausaha PSD

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 62
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115928
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.